
This is banner advertisement only. We do not associate with any advertiser.
To advertise, please click
HERE
-
Pesona gapi
Pesona gapi
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

KECIL, comel, berwarna-warni dan lincah. Ia sentiasa bergerak di sekeliling akuarium seperti menari ceria. Apabila melihat kelibat manusia, terutama tuannya, kumpulan ikan gapi segera meluru ke cermin, seolah-olah tahu mahu diberi makan. Ekornya yang kembang seperti kipas meliuk-liuk ke sana ke mari membuatkan sesiapa yang melihatnya terleka seketika.
Penulis mula tertarik mahu memelihara ikan comel ini ketika pulang ke kampung dan mendapati semakin banyak ikan berkenaan memenuhi kolam air terjun bapa di tepi halaman dan akuarium di dalam rumah
Membayangkan ikan kecil ini memenuhi akuarium di rumah, penulis membawa pulang ratusan ikan gapi bapa ke Kuala Lumpur dengan harapan ia membiak dengan cepat dan mampu menjadi terapi minda setiap hari.
“Kata orang, kalau mahu tenang, jangan lihat burung di sangkar, tapi tengok ikan berenang dalam kolam atau akuarium,” kata bapa penulis, menyebabkan hati tidak sabar-sabar hendak memelihara ikan ini.
Gapi atau nama saintifiknya Poecilia reticulata sering menjadi pilihan pemelihara ikan hiasan dan antara spesies ikan air tawar yang popular di dunia. Ia juga berperanan sebagai agen bagi mengawal pembiakan larva nyamuk.
Ikan kecil ini ditemui oleh Robert John Lechemere Guppy di Trinidad pada 1866 dan dinamakan Girardinus guppii. Gapi berasal dari Barbados, Brazil, Guyana, Netherlands Antilles, Trinidad and Tobago dan Venezuela dan kemudian diperkenalkan di banyak negara di seluruh dunia, kecuali Antartika.
Ikan jantan mempunyai bentuk, corak dan warna menarik seperti bintik atau jalur berwarna kuning, oren, biru merah, hitam atau ungu. Ia berukuran 2.5 hingga 3.5 sentimeter panjang, manakala ikan betina berwarna kelabu dengan sedikit warna di ekornya berukuran empat hingga enam sentimeter.
Biasanya ikan ini mudah membiak di kawasan mirip alam semula jadinya seperti kolam buatan, menyebabkan jika dialih ke tempat lain, ia mati dua atau tiga hari kemudian kerana tidak tahan perubahan tempat dan suhu air yang mendadak.
Menurut pemilik kedai ikan hiasan JSY Aquarium and Pet Shop, Beh Chai Lian, antara sebab ikan gapi menjadi pilihan penggemar ikan hiasan ialah ia aktif, mempunyai warna menarik dan bentuk ekor yang pelbagai.
Menurutnya, pH air yang sesuai untuk gapi membiak ialah 6.8 hingga 7, manakala suhu pula 23—28° Selsius.
“Gapi spesies ikan yang cepat membiak. Ia mula matang pada usia tiga bulan dan selepas itu mampu menetaskan anaknya setiap bulan. Anak ditetaskan dalam perut. Pada peringkat permulaan, ikan gapi bertubuh kecil cuma mampu menetaskan anak sehingga 10 ekor, tetapi apabila saiz tubuhnya semakin besar, lebih banyak anak dapat dihasilkan hingga mampu mencecah 60 ekor pada satu masa.
“Apapun, semakin kerap ia melahirkan anak, walaupun kuantiti semakin banyak, kualiti baka yang dihasilkan iaitu warna dan bentuk ikan tidak begitu cantik. Jangka hayatnya mampu bertahan sehingga setahun dan dalam tempoh itu, ikan betina mungkin menetaskan anak lapan hingga sembilan kali. Jika mahu ia cepat membiak, pelihara ia pada air bersuhu 27—28° Selsius, iaitu di luar rumah atau kolam,” katanya.
Anak ikan yang baru lahir perlu diasingkan daripada ikan dewasa kerana dikhuatiri dimakan oleh ikan lebih besar. Jika tidak, pokok atau batu boleh diletakkan di dalam akuarium bagi membolehkan anak ikan melindungi diri. Pokok juga boleh menggantikan peranan oksigen dalam sesebuah akuarium, terutama jika dipelihara pada balang kecil.
Menurutnya, kebanyakan individu yang ingin memelihara ikan akan memilih gapi kerana keindahannya, selain mudah membiak berbanding ikan hiasan lain.
Makanan boleh diberi dengan kerap tetapi dalam kuantiti sedikit kerana jika berlebihan boleh menyebabkan air mudah kotor, keasidan air tinggi atau ikan mati kekenyangan.
“Gapi mudah mati disebabkan penyakit berjangkit. Jika ada ikan dijangkiti kulat, ia akan mati dan merebakkan penyakit itu pada ikan lain. Tanda ikan sakit ialah badannya mempunyai bintik putih seperti berlumut. Untuk mengatasi masalah itu, tukar air akuarium dan letak ubat antibiotik.
“Selain itu, ikan mati disebabkan air yang tidak sesuai iaitu banyak klorin atau pH yang tidak sesuai, terutama lebih asid. Jika tidak menggunakan anti klorin, air boleh dibiarkan di bawah cahaya matahari selama dua atau tiga hari bagi membebaskan klorin sebelum memindahkan gapi,” katanya.
Chai Lian berkata, untuk kawalan mutu iaitu mendapatkan baka baik, ikan betina dan jantan perlu diasingkan.
“Jika dicampurkan dalam jumlah banyak dan peringkat usia, ikan yang terlalu kecil akan mengawan. Untuk itu, campurkan ikan jantan yang tinggi kualiti dengan ikan betina juga berkualiti tinggi bagi mendapatkan baka lebih baik,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai ikan Sunlight Aquarium, Ng Chin Hooi, berkata selain perlu meletakkan anti krolin pada air di akuarium, sedikit garam ikan perlu dibubuh bagi membekalkan mineral kepada hidupan itu.
Misalnya bagi akuarium berukuran 0.61 meter (dua kaki), sebanyak dua atau tiga sudu garam diletakkan dalam akuarium, selain span penapis yang mempunyai karbon bagi menapis air.
“Batu gunung berapi berwarna merah bata juga boleh diletakkan dalam akuarium sama ada dalam penapis atau di dasar bagi menjaga pH air.
“Bagi yang tidak tahu mengenai tahap pH air, ada alat penguji pH yang biasanya dijual di kedai ikan. Untuk mencegah penyakit ikan merebak, asingkan ikan sakit atau lemah dengan ikan sihat. Ini termasuk ikan yang ekornya rosak atau terkoyak,” katanya.
Menurutnya, bagi penjagaan ikan gapi dalam akuarium atau kolam di luar rumah, sedikit teduhan diperlu bagi mengelak suhu air terlalu tinggi yang tidak sesuai untuk kehidupan gapi. Biasanya, seekor ikan gapi dijual dengan harga RM1 hingga RM4 bergantung kepada keindahan warna dan bentuk ekornya. Lebih kembang ekor gapi dengan corak menarik, harganya lebih mahal sedikit selain gapi yang diimport.
[SIGPIC][/SIGPIC]
Selangor Darul Ehsan
| Paid Advertisement. We do not associate with any advertiser. To advertise, please click HERE |
|
-
-
dulu adik ada bela .. ikan nih la jugak yang org selalu buat ikan laga tu kan
... bila marah ekor dia kembang, cantik sangat ... colourful
-
-

Originally Posted by
tuntejasydney
dulu adik ada bela .. ikan nih la jugak yang org selalu buat ikan laga tu kan
... bila marah ekor dia kembang, cantik sangat ... colourful
bkn ikan laga ni..
ni ikan yg kecik tu..tp cun..
-
-
eek ... bukan ke ... bukan ikan laga pun kecik jugak ke ..
| Paid Advertisement. We do not associate with any advertiser. To advertise, please click HERE |
|
-
Thread Information
Users Browsing this Thread
There are currently 1 users browsing this thread. (0 members and 1 guests)
Similar Threads
-
By myzamer in forum Automotive
Replies: 8
Last Post: 12-04-2010, 04:18 PM
-
By headpux in forum Religious Talk / Muslim Section
Replies: 0
Last Post: 20-11-2009, 01:11 PM
-
By el_zafa in forum Religious Talk / Muslim Section
Replies: 12
Last Post: 16-07-2009, 02:20 PM
-
By hpmfl2002 in forum Info & Selebriti
Replies: 1
Last Post: 06-10-2008, 09:37 PM
-
By hpmfl2002 in forum Info & Selebriti
Replies: 0
Last Post: 14-07-2008, 09:45 AM
Tags for this Thread
Posting Permissions
- You may not post new threads
- You may not post replies
- You may not post attachments
- You may not edit your posts
Forum Rules

This is banner advertisement only. We do not associate with any advertiser.
To advertise, please click
HERE
Bookmarks