RITUAL bermaksud tata cara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir daripada kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Ia walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasaan. Maka, ibadat itu tidak diterima Allah sebagai satu ibadat.

Termasuk dalam yang banyak dianggap ritual masyarakat kita ialah ibadat puasa. Dalam masyarakat mengamalkan konsep ritual, sesiapa tidak ikut serta program diadakan sepanjang Ramadan dipandang serong.

Maka atas semangat ritual, ramailah yang memenuhi masjid dan surau menunaikan solat Tarawih. Disebabkan solah Tarawih diterima sebagai ritual, ada orang bersembahyang Tarawih, tetapi tidak menunaikan solat fardu. Mereka hanya menunaikan solat fardu Isyak yang dilakukan sebelum solat Tarawih.

Masjid dan surau biasanya penuh hanya pada awal Ramadan. Sebaliknya semakin berkurangan apabila penghujung Ramadan yang ketika itu, masing-masing sibuk pula kepada sambutan Aidilfitri, yang lebih jelas ritualnya.

Masih ramai tidak faham mengenai Tarawih. Buktinya, ada yang mengatakan Tarawih itu mesti dilakukan di masjid secara jemaah. Sebabnya, sejak dari kecil sehinggalah dewasa, kita hanya melihat orang bertarawih di masjid. Maka, jika ada orang bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, dituduh pula melanggar kebiasaan.

Sebenarnya solat Tarawih boleh dilakukan berseorangan dan berjemaah di mana-mana saja. Masa Tarawih bukan juga mesti ditunaikan sebaik selesai solat Isyak. Masa untuk solat boleh dilakukan sehingga sebelum masuk waktu Subuh.

Masyarakat masih tidak dapat membezakan di antara hukum dan kebiasaan. Mana yang wajib dan mana yang sunat. Justeru, amat penting guru agama dan imam memberi penjelasan mengenai perkara ini. Kaedah hanya menyuruh dan tidak mendidik adalah di antara punca berlaku amalan ribual dalam ibadat.

Sebenarnya konsep puasa ritual ini disebabkan kejahilan ilmu agama dan tahap keimanan. Ramai beranggapan memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa.

Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. Apabila telah dewasa, ibadat puasa menjadi kebiasaan. Hal yang sama diturunkan kepada anak dan begitulah dari satu generasi ke satu generasi.

Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya, nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.

Orang berpuasa bukan diasaskan keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.