AIDILFITRI disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal.

Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu.

Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung-mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih-muih terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah SAW, datang seorang sahabat kepada Baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu Baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru."

Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi, pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru.

Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.