BUAH kiwi memang diketahui mempunyai pelbagai khasiat tetapi disebabkan kurang hebahan mengenainya, ia seakan terpinggir dan kurang dikenali di negara ini.

Menurut kajian yang dijalankan syarikat Zespri International (Asia) Limited dan Universiti Perubatan Taipei (TMU), buah kiwi dipercayai dapat membantu pesakit sindrom radang usus (IBS-C) seperti sembelit dengan pengambilan dua biji setiap hari.

Menurut Profesor Fakulti Sains Kesihatan dan Nutrisi TMU, Jennifer Liu, dia membuat kajian berkenaan terhadap 70 responden yang mana 54 daripadanya menghidapi penyakit berkenaan manakala 16 lagi sihat.

Katanya, responden berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu yang makan dua biji kiwi dan mengambil ubat, setiap hari.


“Kajian berkenaan mengambil masa enam minggu dan segala aktiviti membuang air besar mereka direkodkan.


“Kami mendapati 45 peratus penghidap IBS-C mengalami peningkatan yang memberangsangkan terutama di bahagian usus yang semakin baik dan mengurangkan risiko sembelit,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Zespri (Asia) Limited, Kelvin Bezuindenhout serta pakar pemakanan, Rekha Naidu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui buah berkenaan boleh dibuat pelbagai sajian enak seperti salad, minuman, campuran dalam hidangan utama dan pencuci mulut.

Buah kiwi sememangnya kaya dengan kandungan lutein, iaitu antioksida penting dalam mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung.

Selain itu, buah kiwi kaya dengan vitamin C dan E yang meningkatkan daya ketahanan badan dalam mengatasi serangan demam selesema dan membantu mengurangkan kolesterol.

Ia juga mempunyai kandungan asid folat, potasium serta magnesium yang lebih tinggi berbanding buah-buahan lain.