KITA terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar
kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah.

Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak
kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu
orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja
kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampu
diubah.

Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara
sebabnya kita tidak pernah memberi masa
bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri
sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang
lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia
akan menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan
menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan
menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita
laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan
perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah
apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap
sekiranya tapak tidak kita bina.

“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah
kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah,
berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang
yang berani melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi
jarang orang berani membincangkan kelemahan diri
sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah
juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata
kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang
berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi
orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak
akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan
membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk
turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah
diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri.
Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah
sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti 'ketam
mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa
bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil.
Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu
dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar.
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti
berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir
besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan
bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat.
Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika
dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika
tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan
sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana
mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan
ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri. Wassalam.