Nyawa wajib dilindungi

Oleh Abdul Rahman Abdul Rahim
Kalau diteliti dengan penuh kefahaman, akan dapat dipastikan bahawa penggunaan kondom pada keadaan-keadaan tertentu adalah wajib.

Tidak perlu dibincangkan dalam majlis fatwa, kerana pertimbangan seseorang Muslim bahawa agama menitikberatkan keselamatan nyawa dapat dirumuskan kepada perkara itu.

Maknanya jika seseorang itu menghidap penyakit HIV, jelas wajib baginya untuk menggunakan kondom dalam hubungan kelaminnya. Begitu juga bagi mereka yang bimbang dijangkiti HIV melalui hubungan kelamin.

Bila dapat faham mengenai Islam yang berprinsip melindungi nyawa daripada kemudaratan, maka sewajarnya kempen menggunakan kondom di kalangan umat Islam tidak patut menimbulkan tentangan.

Malangnya apa yang terjadi sekarang, Kementerian Kesihatan mendapati sukar dalam usaha menggalakkan penggunaan kondom atas sebab-sebab agama. Sedangkan sepatutnya Islam sebagai agama yang melindungi nyawa lebih berperanan menggalakkan penggunaan kondom.

Wajibnya menggunakan kondom adalah seperti wajibnya memakai topi keledar, tali pinggang keledar dan mematuhi lampu isyarat. Kesemua tindakan itu adalah untuk keselamatan nyawa.

Sememangnya dapat difahami mengapa ada golongan yang menegah penggalakan penggunaan kondom. Ini kerana mereka bimbang penggunaan kondom akan bermakna menggalakkan maksiat, iaitu perzinaan.

Perzinaan diharamkan kerana ia menjejaskan nasab keturunan seseorang. Ini kerana Islam menekankan tentang pemeliharaan nasab keturunan supaya dapat diketahui siapakah wali dan waris seseorang, dengan di mana letak sesuatu tanggungjawab. Tetapi Islam juga, malah lebih penting lagi melindungi nyawa daripada kemudaratan termasuk mempertahankan seseorang daripada ancaman penyakit.

Bayangkan betapa mudaratnya perlakuan seseorang yang melakukan zina, pada waktu yang sama menyebarkan penyakit. Sudah tentu lebih baik bagi mereka menggunakan kondom bagi mengelak penularan penyakit itu.

Hujah bahawa jika perzinaan dibasmi dengan sendirinya penyakit HIV turut dihapus tidak juga boleh dipakai. Kebanyakan kes penyebaran berlaku bukan melalui perzinaan. Ia lebih kepada perkongsian jarum.

Maka bagi mengelakkan penyebaran penyakit melalui perkongsian jarum, maka pernah dicadangkan supaya alat suntikan bersih diberi secara percuma. Tetapi cadangan itu juga dikritik kerana dilihat sebagai menggalakkan penagihan dadah.

Tetapi penagih dadah tidak peduli sama ada jarum itu bersih atau tidak. Mereka tetap mengambil dadah. Maka memberi alat suntikan bersih secara percuma sudah dilihat sebagai suatu yang perlu. Seperti juga mengedarkan kondom secara percuma.