Pemacu kilat USB



Pemacu kilat USB adalah peranti storan ingatan kilat yang disepadukan dengan antaramuka USB. Pemacu kilat USB lazimnya bersaiz kecil, ringan, boleh ditulis semula dan boleh dibawa ke mana sahaja. Setakat November 2006, kapasiti memori pemacu kilat USB adalah dari serendah 32 MB sehingga setinggi 64 GB. Kapasiti memori pemacu kilat bergantung kepada ketumpatan ingatan kilat yang digunakan.

Pemacu kilat USB menawarkan banyak kelebihan berbanding peranti storan mudahalih lain, terutamanya cakera liut. Ia lebih kecil, lebih pantas, boleh meyimpan lebih banyak data serta lebih boleh diharap (kerana tiada bahagian bergerak serta rekabentuk yang lebih tahan lama) daripada cakera liut. Pemacu kilat USB menggunakan piawaian alat storan massa USB yang disokong oleh sistem pengoperasian moden seperti Windows, Mac OS X dan Linux.

Sebuah pemacu kilat terdiri daripada papan litar bercetak kecil di dalam bekas plastik, menjadikannya kecil dan mudah disimpan di dalam kocek. Penyambung USB pula ditutup dengan penutup plastik yang boleh ditanggalkan untuk melindunginya daripada kemungkinan kerosakan akibat elektrik statik. Hampir kesemua pemacu kilat menggunakan penyambung piawai USB jenis A supaya boleh disambung terus ke komputer.

Untuk mengakses pemacu tersebut, pemacu kilat perlulah terlebih dahulu disambungkan ke komputer melalui port USB. Pemacu kilat USB memperoleh bekalan kuasanya melalui port USB sendiri.

Sejarah

Pemacu kilat USB dipercayai mula dicipta sekitar tahun 1998 hingga tahun 2000. Banyak syarikat yang mendakwa sebagai pencipta pemacu kilat USB, dan isu ini sering menjadi pertikaian sehingga ada kalanya membawa kepada kes mahkamah kerana masing-masing mendakwa memiliki sijil paten bagi peranti ciptaan mereka.

Trek Technologies yang berpangkalan di Singapura mendakwa sebagai pencipta asal ThumbDrive yang mula dipasarkan pada tahun 2000. Syarikat lain seperti M-Systems dan Lexar juga mendakwa menjadi pencipta pemacu kilat USB, maka Trek membawa kes tersebut ke mahmamah di Singapura. Hasilnya, Mahkamah Rayuan Singapura mengesahkan kesahihan sijil paten ThumbDrive oleh Trek Technologies dan memerintahkan syarikat-syarikat lain untuk menghentikan penjualan produk mereka. Walau bagaimanapun, semakin banyak syarikat yang mula mengeluarkan pemacu kilat USB.

Mulai tahun 2003, pemacu kilat terkini menggunakan sambungan USB 2.0 yang lebih pantas tetapi kadar pemindahan data maksimum hanyalah sekitar 10 - 25 Mbps, berbeza dengan keupayaan maksimum sambungan USB 2.0 yang membolehkan pemindahan data sehingga 480 Mbps. Hal ini terjadi kerana limitasi pada cip memori kilat.

Pemacu kilat turut menjadi "ikon fesyen" apabila terdapat syarikat yang mengeluarkan pemacu kilat dalam pelbagai bentuk yang menarik, malah ada pengeluar yang turut menawarkan aksesori bagi pemacu kilat keluaran mereka untuk tujuan fesyen, misalnya PenSkinz oleh syarikat PenDrive Malaysia Sdn. Bhd.


Komponen pemacu kilat USB

Komponen wajib

* Penyambung USB - menyediakan antaramuka bagi pemacu ke komputer.
* Pengawal storan massa USB - Menterjemahkan arahan komputer kepada arahan berorientasikan blok bagi ingatan kilat dan sebaliknya. Pengawal ini juga turut dilengkapi sebuah pemproses mikro, RAM dan ROM di dalam cip yang sama.
* Cip ingatan kilat - menyimpan data.
* Pembuai hablur - menghasilkan isyarat jam utama 12 MHz dan mengawal keluaran data melalui litar fasa tertutup.

[Sunting] Komponen tambahan

* Pelompat dan pin ujian - bagi tujuan menguji cip semasa pengeluaran atau memuatkan kod aturcara kepada pemproses.
* LED - menandakan operasi baca / tulis atau pemindahan data.
* Ruang cip ingatan tambahan - menyediakan ruang kosong bagi memuatkan cip ingatan kilat kedua. Ruang kosong ini disediakan supaya pengeluar hanya perlu menghasilkan satu sahaja papan litar bagi model pemacu kilat dengan pelbagai saiz ingatan bagi memenuhi permintaan pasaran.
* Penutup penyambung USB - melindungi penyambung USB daripada kemungkinan kerosakan akibat elektrik statik serta menyempurnakan rupa bentuk pemacu. Sesetengah model tidak ada penutup tetapi menggunakan pelbagai mekanisme bagi melindungi penyambung USB.
* Lubang rantai kunci - membolehkan pemacu disambung ke rantai kunci ataupun tali lanyard bagi membolehkannya dibawa ke mana sahaja.


Kegunaan

* Menyimpan dan mengangkut data - kegunaan paling utama.
* Kerja membaiki komputer - pemacu kilat USB boleh digunakan sebagai peranti sandaran (backup) bagi pengangkutan pemulihan ataupun boleh mengangkut sesetengah antivirus bagi memulihkan PC yang dijangkiti virus.
* Pentadbiran sistem - pemacu kilat USB boleh menyimpan konfigurasi sistem serta perisian utiliti bagi tujuan penyelenggaran sistem komputer.
* Pembawa aplikasi - pemacu kilat USB boleh membawa perisian aplikasi yang tidak memerlukan pemasangan agar dapat digunakan pada mana-mana komputer tanpa pemasangan.
* Pemain audio - banyak syarikat yang mengeluarkan pemain audio digital peribadi dalam bentuk pemacu kilat USB, misalnya Creative Labs MuVo dan beberapa model Walkman oleh Sony.
* Memulakan sistem pengoperasian - pemacu kilat juga boleh digunakan bagi tujuan memulakan sistem pengoperasian, jika BIOS pada sesetengah papan induk membenarkan pemacu kilat digunakan sebagai peranti pemula sistem pengoperasian.
* Dalam permainan komputer - sesetengah permainan membolehkan pemain menyimpan markah, imej skrin dan sebagainya di dalam pemacu kilat.


Kebaikan dan keburukan

Kebaikan

1. Tidak terjejas oleh kesan calar ataupun habuk yang sering menjadi masalah pada storan magnetik dan optikal serta tahan lasak.
2. Bersaiz kecil dan mudah dibawa ke mana-mana.
3. Sesetengah model pemacu kilat adalah serbaguna dan boleh juga digunakan sebagai pemain audio.
4. Boleh digunakan pada mana-mana komputer yang dilengkapi port USB.
5. Ketumpatan storan data yang tinggi. Sesetengah model pemacu kilat boleh menyimpan lebih banyak data daripada sekeping DVD (4.7 GB).
6. Disokong oleh semua sistem pengoperasian terkini.
7. Kitar tulis-padam yang lebih tinggi. Sekeping CD-RW dan DVD±RW mempunyai kitar tulis-padam sehingga 1,000 kali manakala DVD-RAM pula mempunyai kitar baca-padam sebanyak 100,000 kali. Sebuah pemacu kilat USB lazimnya mempunyai kitar tulis-padam sehingga melebihi setengah juta kali sebelum gagal.

[Sunting] Kelemahan


1. Mudah hilang kerana rekabentuk yang kecil.
2. Walaupun harga pemacu kilat semakin murah, kos spesifik penyimpanan data di dalam pemacu kilat masih lebih tinggi daripada DVD±RW.
3. Kebanyakan model pemacu kilat tidak dilengkapi ciri keselamatan seperti suis lindung-tulis ataupun perisian kata laluan, maka lebih mudah berdepan risiko dijangkiti virus.
4. Boleh dirosakkan akibat pendawaian port USB yang tidak betul pada komputer.


Perbandingan dengan peranti storan mudahalih lain

* Cakera liut - Cakera liut atau disket adalah antara medium storan mudahalih terawal yang popular, tetapi kini kurang digemari kerana kapasiti yang rendah, perlahan dan tidak tahan lama. Kebanyakan model komputer terkini tidak lagi dilengkapi pemacu disket, di mana model pertama yang tidak dilengkapi pemacu disket ialah Apple iMac.
* Imation SuperDisk dan Iomega Zip - Imation SuperDisk tidak mendapat sambutan kerana tidak diterima sebagai piawaian baru cakera liut serta dibayangi reputasi buruk cakera liut. Iomega Zip pernah popular seketika, tetapi kini tidak lagi popular kerana harga disketnya yang mahal serta masalah kesesuaian dengan produk lama.
* Pemacu cakera keras luaran - Walaupun secara lazimnya cakera keras moden mempunyai saiz storan yang jauh lebih besar daripada pemacu kilat USB, namun cakera keras terdedah kepada risiko kerosakan akibat hentakan mekanikal, kesan habuk atau calar, serta apabila terdedah dengan peralatan bermagnet.
* Cakera optikal - Secara lazimnya, kebanyakan cakera optikal boleh tulis (kecuali DVD-RAM yang lebih mahal) berharga lebih rendah daripada pemacu kilat, tetapi pemacu kilat mempunyai kitar tulis-padam yang jauh lebih tinggi daripada cakera optikal. Tambahan pula, satu fail imej perlu dibentuk oleh perisian utiliti penulis cakera optikal sebelum cakera optikal ditulis, tidak seperti pemacu kilat yang boleh ditulis atau dipadam secara terus tanpa perlu dibina fail imej.


Penamaan

Pemacu kilat USB mempunyai banyak nama panggilan di mana majoritinya ialah jenama pemacu kilat yang banyak terdapat di pasaran, seperti PenDrive, ThumbDrive dan sebagainya. Namun begitu, nama rasmi yang diterima pakai oleh keseluruhan industri teknologi maklumat ialah Pemacu Kilat USB.