Islam Tak Menghalang Hiburan

Islam tak halang hiburan selagi syariat ditepati ISLAM tidak memperlakukan manusia sebagai malaikat, tetapi sebagai makhluk yang mempunyai fitrahnya tersendiri. Hal ini kerana Islam adalah agama waqi'i iaitu tidak tenggelam dalam dunia khayal dan lamunan, tetapi berjalan bersama manusia di atas muka bumi dan alam nyata.

Justeru, Islam tidak menghendaki kita menjadikan seluruh percakapan berupa zikir, diam kita bererti berfikir, pandangan kita hanya kepada al-Quran dan masa lapang kita dihabiskan sepenuhnya di masjid.

Islam meraikan fitrah manusia yang suka bergembira, seperti mereka dicipta menyukai makan dan minum.

Begitu juga dalam hiburan. Islam tidak melarang umatnya mendapatkan hiburan selagi menepati syariat.

Contohnya, nyanyian. Tidak salah juga menyertakannya dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu. Malah, dalam keadaan gembira, nyanyian diharuskan untuk menghiburkan hati.

Daripada Saidatina Aisyah bahawa bapanya, Abu Bakar pernah menemuinya dan ketika itu beliau bersama dua hamba perempuan pada hari Mina ('Idul Adhya).

Kedua-duanya menyanyi dan memukul gendang, sedangkan Nabi Muhammad menutup wajahnya dengan pakaian Baginda.

Abu Bakar mengherdik mereka, lalu Nabi membuka wajah Baginda dan berkata: “Biarkanlah mereka, wahai Abu Bakar! Sesungguhnya hari ini adalah hari raya.” (Muttafaqun'alaih)

Islam walaupun mengharuskan nyanyian dan muzik, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian supaya tidak tergelincir daripada landasan halal, iaitu:

Nyanyian itu hendaklah sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam.

Justeru, jika nyanyian itu penuh dengan puji-pujian terhadap sesuatu yang haram dan menggalakkan orang melakukannya, maka hukum menyanyi dan mendengarkan lagu itu adalah haram.

Seni kata lagu itu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi cara menyanyikannya boleh mengeluarkan lagu itu daripada lingkungan halal.

Misalnya, lenggang gaya sengaja dilakukan yang boleh menimbulkan fitnah.

Islam tidak suka kepada sikap berlebih-lebihan dalam semua perkara, hatta dalam persoalan ibadah sekali pun. Hal ini termasuk berlebih-lebihan dalam hiburan dan menghabiskan masa untuk berhibur.

Benarlah kata seorang bijaksana, “Tidak pernah saya melihat suatu perbuatan yang berlebih-lebihan melainkan di sebalik itu ada suatu kewajipan yang terbuang.”

Orang yang mendengar sesuatu nyanyian hendaklah jujur kepada dirinya sendiri. Dalam hal ini, jika nyanyian itu mencetuskan keinginan melakukan dosa, maka hendaklah dia menjauhinya dan menutup semua pintu yang boleh menghalakannya kepada keburukan.

Ulama bersepakat bahawa nyanyian yang disertai dengan perbuatan haram seperti majlis yang menghidangkan minuman arak atau berlaku pergaulan tidak terkawal antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah haram.

Penyanyi dan pendengarnya diberi peringatan yang keras melalui sabda Rasulullah bermaksud: “Sungguh akan ada manusia daripada umatku yang minum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian.

Setiap ibu bapa, pendidik dan semua pihak hendaklah memastikan anak-anak dihidangkan dengan nyanyian yang menepati syariat Islam.

Kecuaian melaksanakan tanggungjawab ini akan hanya membuka laluan untuk mereka terjebak dalam gejala yang tidak sihat.