Makanan pembentuk peribadi

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

PEMBONGKARAN media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan betapa bahan makanan haram dijual sebagai 'halal' di pasaran di negara ini, dari semasa ke semasa, membuktikan masalah terbabit terus berleluasa.

Bagaimanapun, setiap kali isu itu didedahkan media, barulah pihak tertentu akan 'melompat' dengan pelbagai bentuk tindakan. Yang terbaru mengenai pengenalan logo halal baru yang dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat.

Sebenarnya isu halal haram berkisar kepada tiga perkara asas: Pertama, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang larang orang Islam; dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal.

Pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan memang diketahui umum. Kita suka memilih makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.

Bagaimanapun, ramai yang hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.

Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu".

Baginda kemudian menyebut seorang lelaki yang sedang berjalan jauh dengan keadaan kusut masai rambutnya dan berlumuran debu sedang dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa "Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka betapakah boleh diperkenankan Allah doanya."

Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.

Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya."

Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan melahirkan nur keimanan dalam dirinya untuk turut sama menjaga kebersihan diri secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan dan sebagainya.

Dalam ibadat asas agama iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri. Allah s.w.t. tidak akan menerima solat hamba-Nya yang beribadat dalam keadaan kotor.

Ia sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Hibban iaitu: "Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih."

Islam sangat syumul dalam pemilihan makanan dengan menekankan yang bersih dan halal. Dalam surah al-Nahl ayat 114-115, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging **** dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang."

Makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya.

Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan dan ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah s.w.t. dan ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.

Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.

Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia.

Insya-Allah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah s.w.t.

Daripada aspek adab pemilihan makanan pula, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan yang layu dan sebagainya.

Kita memakan sesuatu jenis makanan untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat di dalamnya.

Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya. Sejak manusia dilahirkan, makanan atau minuman awal yang masuk ke dalam perut adalah susu ibunya.

Selain terjamin kebersihan dan suci dari segi syariat Islam, susu ibu adalah pemangkin terawal untuk menyemai kasih sayang antara seorang ibu dan anaknya.

Akhlak yang bakal dijelmakan anak adalah melalui susuan ibunya. Tabiat si penyusu akan dipindahkan kepada anak yang menyusu. Jika solehah si ibu yang menyusukan, akan lahirlah generasi anak berakhlak mulia dan terpuji.

Jika dimulakan dengan susu haiwan, bayi itu bila membesar akhlaknya dikhuatiri menjadi tidak sempurna.

Selain adab makan dan memilih makanan, dari segi penjagaan kesihatan, Islam melarang mengambil makanan dan minuman secara berlebihan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan yang halal."

Banyak jenis penyakit bermula daripada salah memilih makanan, termasuk makan secara melampaui batas. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya."

Allah s.w.t murka kepada hamba-Nya yang suka melampaui batas, termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan.

Sebagai balasan, Allah s.w.t. akan menurunkan pelbagai wabak penyakit, sama ada ia akan menyerang manusia secara keseluruhan atau menyerang individu yang berpunca daripada kelalaian dan kealpaan manusia mengurus diri untuk menikmati kurniaan Allah s.w.t.