Ibu sinar hatiku: Aminah pupuk kejayaan Farrah

Oleh Noriah Idris

TUGAS doktor ada kalanya harus menjalankan pembedahan kira-kira 14 jam bagi satu-satu kes dan esoknya melakukan rutin sama. Namun, Aminah Sirajuddin (ibu bekas ratu gimnas negara yang kini bergelar pakar bedah, Dr Farrah Hani Imran) mengakui jati diri anaknya itu terbentuk melalui disiplin yang tinggi yang dibekalkannya dan suami sejak kecil.

"Farrah terbiasa dengan disiplin tinggi. Oleh kerana suami saya seorang yang tegas dalam mendidik anak, baik Farrah mahupun Amar dididik untuk mengutamakan tanggungjawab dan pelajaran.

"Ertinya, masa sekolah rendah lagi mereka ada jadual belajar dan hanya boleh menonton televisyen pada masa tertentu. Suami saya menyimpan rotan di belakang jam dinding berhampiran meja belajar mereka. Bila mereka bising atau bergaduh, suami saya hanya renung rotan itu dan kedua-duanya terus senyap," kata Aminah menceritakan pengalaman awal mendidik dua cahaya matanya itu.

Dr Farrah Hani, 29, kini berkhidmat di Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dilahirkan dalam keluarga perubatan, Dr Farrah Hani mendapat banyak pendedahan daripada bapanya, Dr Imran Abdullah yang berkhidmat sebagai pakar telinga, hidung dan tekak.

Abang Dr Farrah Hani, Dr Amar, 30, pakar di Unit Kemalangan dan Kecemasan di HUKM turut menjadi pemangkin Farrah dalam menggalas cita-citanya selama ini.

"Mungkin saya boleh katakan, kejayaan Farrah banyak dibantu kekuatan mentalnya sendiri yang begitu meminati bidang sukan. Saya masih ingat, macam mana sukarnya dia membahagikan masa antara sukan gimnastik dan pelajarannya ketika itu.

"Setiap hari, saya menghantar Farrah ke Sekolah Convent Bukit Nanas dan selepas itu saya kembali ke pejabat. Sebelah petang, Farrah berlatih di Kompleks Sukan Kampung Pandan dan saya menghantar kerja sekolahnya serta memastikan dia lakukan tugasan diberikan guru sehingga jam 1 pagi setiap hari.

"Itu rutin yang saya lakukan setiap hari sehingga saya berbincang dengan suami kerana antara kami, salah seorang perlu berkorban dan saya berhenti kerja semata-mata untuk memastikan Farrah berjaya.

"Sebenarnya, Farrah sendiri suka melakukan dua tugas dalam satu masa kerana dia memang minat. Sebagai ibu, saya berikan galakan sepenuhnya kerana saya tahu kekuatan Farrah dalam melakukan semua itu," katanya.

Selain meminati gimnastik, Dr Farrah mempelajari tae kwan do, berenang dan meminati muzik.

"Memandangkan minatnya yang pelbagai itu, sebagai ibu, saya banyak memberikannya dorongan supaya melakukannya dengan berdisiplin.

"Ternyata saya bangga dengan kekuatan dalaman yang ada pada anak bongsu kami itu. Keinginannya begitu kuat dan paling membanggakan, dia berusaha mendapatkan sesuatu dan mengurus masa dengan bijak. Sebagai ibu bapa, kami sekadar membantu dan memastikan dia mencapai apa yang dihajati.

"Saya selalu katakan pada anak perancangan penting dalam hidup. Ibu bapa bukan hidup lama dan mereka perlu buat keputusan sendiri apabila kami sudah tiada.

"Sejak kecil saya sering ceritakan kepada anak-anak akan kehidupan mereka yang susah supaya sedar tanpa ilmu hidup ini agak sukar," kata wanita berasal dari Batu Pahat, Johor ini.

Mengakui hakikat dia pernah berdepan situasi sukar ketika menerima kutukan segelintir masyarakat seolah-olah membiarkan anaknya berpakaian ketat ketika bersukan, Aminah menelan tohmahan itu dengan sabar.

Aminah merasakan pengorbanannya tidak sia-sia apabila akhirnya Dr Farrah membuktikan kecemerlangan dengan meraih beberapa siri kejohanan gimnastik di peringkat kebangsaan mahupun dunia.

Antara pencapaiannya adalah kedudukan dunia ke-60 di Sepanyol (1993), johan keseluruhan di Scotland (1994) dan tempat ke-18 peringkat akhir Piala Brother di Tokyo selain menerima Anugerah Sukan Negara (1994).

Selepas pembabitan dalam sukan gimnastik berirama mulai 1989 hingga 1994, dia melanjutkan pelajaran di Royal College of Surgeons, Ireland hingga tamat pengajian pada 2002.

Bagi Dr Farrah pula, ibu adalah segala-galanya. Pengorbanan ibu tidak ternilai dan tiada apa yang dapat membalas jasanya, diberikan hadiah termahal sekalipun masih tidak mencukupi.

Namun sebagai pernyataan kasih sayang terhadap ibu tercinta, Dr Farrah mengakui dia sentiasa memberikan hadiah tertentu sebagai tanda terima kasihnya.