Keguguran Rambut Pola Lelaki (MPHL) Masalah Perubatan



BIASANYA, anda akan berjumpa dengan orang yang betul apabila mahukan penyelesaian bagi masalah-masalah tertentu. Bagaimanapun, lain ceritanya dalam kes keguguran rambut.
Berdasarkan tinjauan terkini oleh Persatuan Sains Rambut Malaysia (MSHS) didapati, sebanyak 44.4 peratus lelaki tempatan memilih untuk bercakap dengan kawan-kawan mereka mengenai masalah ini, dan bukannya dengan seorang doktor.
Ia samalah seperti memanggil tukang paip datang ke rumah anda untuk membetulkan masalah pendawaian.
Apa lagi yang didedahkan oleh kaji selidik berkenaan?
* 40.5 peratus lelaki mengalami beberapa bentuk keguguran rambut
* 62.9 peratus lelaki mula kehilangan rambut mereka di antara usia 26 hingga 35 tahun
* 85.3 peratus lelaki akan mengubah rupa paras mereka jika dikehendaki oleh pasangan masing-masing.
Mungkin, lelaki melihat masalah keguguran rambut lebih kepada isu penampilan dan bukannya satu masalah perubatan.
Tekanan, mi segera dan genetik merupakan antara sasaran popular yang dipersalahkan sebagai punca rambut mereka mula berguguran jatuh ke bumi dan lama-kelamaan boleh menyebabkan kebotakan.

Tetapi, bagaimana jika sesuatu yang lain menjadi penyebabnya? Bagaimana jika ia sebenarnya boleh dibantu oleh doktor anda?

“Tinjauan yang kami jalankan baru-baru ini untuk memahami tahap pengetahuan, tanggapan dan sikap lelaki terhadap keguguran rambut menunjukkan bahawa 44.4 peratus daripada lelaki di Malaysia meminta nasihat kawan-kawan dan bukannya doktor berhubung masalah ini.

“Kami mahu orang ramai menyedari bahawa keguguran rambut boleh merupakan masalah perubatan dan bahawa kami, doktor anda, mungkin dapat membantu dengan menawarkan beberapa pilihan rawatan,” kata Presiden MSHS, Dr. Steven Chow.

MSHS baru-baru ini mengumumkan pelantikan pengulas bola sepak terkemuka tanah air, Serbegeth Singh atau popular dengan panggilan Shebby, sebagai duta pertamanya bagi Kempen Jumpa Doktor mereka.

Kempen yang dilancarkan di seluruh negara itu bertujuan menggalakkan kaum Adam di negara ini supaya berjumpa doktor sekiranya mereka mendapati rambut mereka gugur.

Menurut Dr. Chow: “Apabila kami menemui Shebby, kami tahu dialah duta yang paling sesuai kerana dia turut tertanya-tanya tentang perkara yang sama seperti kebanyakan lelaki lain apabila mendapati rambut mereka mula gugur.

“Tetapi Shebby bertindak selangkah ke hadapan kerana dia berjumpa doktor dan sekarang dia mahu memberitahu orang ramai mengenainya,” tambah beliau.

Shebby akan ditampilkan dalam bahan bacaan di klinik dan kempen melalui media yang direka khas untuk memberitahu lelaki bahawa masalah keguguran rambut boleh dibincangkan.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang patut dielakkan atau dianggap sebagai mengaibkan.

Dengan latar belakangnya sebagai bekas pemain bola sepak negara disokong oleh kerjayanya sebagai pengulas bola sepak dan pengacara program bersifat kesukanan seperti Shebby On The Line di Astro Ria, dia menggambarkan tanggapan bahawa lelaki masa kini lebih mementingkan paras rupa masing-masing dan sanggup melakukan sesuatu kerananya, tanpa mengabaikan minat mereka yang bersifat kelelakian.

Shebby, yang kelihatan teruja dengan peranan barunya itu berkata, kemunculan di kaca televisyen telah menarik lebih banyak perhatian orang ramai terhadap dirinya.

“Saya lebih sedar akan paras rupa dan lebih mengambil berat tentangnya berbanding orang biasa, lebih-lebih lagi apabila usia kita semakin meningkat.

“Seperti kebanyakan orang lain, rambut saya juga mula gugur dan saya menyalahkan usia yang meningkat, tekanan jiwa, perasa tambahan di dalam makanan dan apa-apa sahaja yang pernah kita dengar.

“Sudahlah kita mendapati rambut kita gugur, kemudian orang lain pula memberikan komen. Pada masa itulah saya mula bercakap dengan orang lain dan mencari maklumat daripada surat khabar dan Internet,’’ katanya.

Perkara pertama yang beliau sedari adalah betapa ramainya orang lain yang mengalami nasib yang sama seperti dirinya dan mereka sanggup menghabiskan wang dan masa yang begitu banyak untuk memperbaiki masalah itu.

“Jadi saya terkejut sehinggalah saya terjumpa seorang kawan yang pernah mengalami masalah yang sama beberapa tahun dahulu tetapi nampaknya sudah berjaya mengatasi masalah keguguran rambut.

“Nasihatnya? Shebby, pergilah berjumpa doktor,” katanya sambil tertawa kecil mengenang kembali kali pertama beliau berjumpa Dr. Chow pada suatu acara sosial.

Beliau memberitahu, Dr. Chow menjelaskan tentang masalah MPHL yang menyebabkan lebih 80 peratus kejadian keguguran rambut di kalangan lelaki.

“Beliau juga memberitahu saya tentang tinjauan yang dijalankan oleh MSHS dan antara hasilnya yang mengejutkan.

“Yang paling menarik perhatian saya adalah statistik 85.3 peratus lelaki yang akan mengubah paras rupa masing-masing jika pasangan menyuruh mereka berbuat demikian,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Chow menjelaskan, doktor mungkin dapat mendiagnosis masalah ini dan mencadangkan beberapa rawatan yang selamat. Ujar beliau, “Tinjauan kami mendapati bahawa ramai lelaki, iaitu 84.3 peratus tidak tahu pun apa itu MPHL.

“Ditambah pula hakikat bahawa ramai lelaki tidak berjumpa doktor, timbullah masalah yang tidak didiagnosis, tidak dirawat dan semakin melarat apabila tahun berganti tahun.”

Kempen Jumpa Doktor ini telah pun bermula di klinik-klinik yang turut serta di seluruh negara hingga Februari 2007 dengan sokongan Merck Sharp & Dohme Malaysia. Sila layari www.hairscience.org untuk maklumat lanjut.

Keguguran Rambut Pola Lelaki (MPHL)
Apa itu MPHL?

MPHL atau alopesia (botak) androgenetik merupakan punca keguguran rambut yang paling biasa berlaku, mewakili lebih 80 peratus daripada kesemua kes keguguran rambut di kalangan lelaki.

Lain-lain penyebab kehilangan rambut termasuklah:

* Telogen effluvium. Satu keadaan sementara yang selalunya terjadi disebabkan oleh tekanan seperti kehamilan, trauma atau pembedahan.

* Areata alopesia. Satu keadaan di mana sistem imun badan sendiri menekan peringkat pertumbuhan akar rambut (bahagian rambut yang tertanam di dalam folikel di bawah kulit).

Areata alopesia menyebabkan rambut gugur dalam bentuk setompok dan boleh menjejaskan keseluruhan tubuh badan termasuk rambut pada anggota muka dan alat sulit.

* Keadaan kulit kepala. Jangkitan kulat atau penyakit psoriasis iaitu sejenis penyakit kulit yang kronik pada kulit kepala, juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

* Masalah perubatan sedia ada. Penyakit-penyakit seperti hipotiroidisme

Memahami kitaran pertumbuhan rambut

Terdapat tiga peringkat kitaran pertumbuhan rambut yang normal:

1. Anagen (pertumbuhan)

Rambut-rambut yang baru tumbuh daripada dasar folikel (lubang atau bukaan pada permukaan kulit di mana rambut tumbuh melaluinya).

Fasa pertumbuhan yang normal ini selalunya memakan masa bertahun-tahun dan hasilnya adalah rambut yang tumbuh sepenuhnya

2. Catagen (rehat)

Pada peringkat ini, rambut berhenti tumbuh dan akar rambut mula mengecut. Dasar folikel pecah dan rambut bergerak ke atas di dalam folikel, jauh daripada akar dan pembuluh darah yang membekalkan nutrien.

3. Telogen (pertumbuhan semula)

Rambut yang telah matang kini melekat longgar ke akar rambut. Ia lazimnya akan gugur selepas beberapa bulan ataupun setelah ditolak oleh rambut baru yang tumbuh di bawahnya.

Apakah yang menyebabkan MPHL?

MPHL terjadi disebabkan oleh interaksi hormon-hormon kulit kepala lelaki dengan risiko genetik, yang mempengaruhi kitaran pertumbuhan rambut yang normal.

Dalam erti kata lain, MPHL mempunyai kaitan dengan dua faktor utama iaitu gen dan hormon.

Apakah yang akan terjadi kepada rambut jika saya mempunyai MPHL?

1. Hormon lelaki iaitu androgen hadir di dalam folikel rambut, khususnya hormon testosteron. Turut hadir adalah sejenis enzim yang dikenali sebagai 5-alpha-reductase (5aR).

2. Apabila testosteron berinteraksi dengan enzim, hormon akan ditukarkan menjadi dihydrotestosterone atau DHT.

3. Apabila wujud DHT yang berlebihan di dalam akar rambut, fasa anagen kitaran rambut dipendekkan. Hasilnya adalah rambut yang lebih pendek, halus dan kurang kelihatan.

4. Ini selalunya berlaku pada verteks iaitu bahagian yang tertinggi pada kepala dan pada garisan kepala - corak keguguran rambut di kalangan lelaki yang paling klasik.

Lain-lain faktor risiko MPHL?

Jantina - lelaki secara umumnya lebih cenderung menderita masalah keguguran rambut disebabkan oleh jumlah hormon testosteron yang lebih banyak mereka hasilkan.

Sejarah keluarga - kejadian MPHL di kalangan ayah, bapa saudara, datuk dari kedua-dua belah ibu dan bapa boleh mendedahkan seseorang kepada keadaan ini

Usia - adalah dianggarkan kira-kira 30 peratus lelaki yang berumur 30 tahun akan mendapat beberapa bentuk keguguran rambut manakala 50 peratus akan mengalaminya tatkala umur mencecah 50 tahun

Tekanan - stres yang kronik dan berterusan boleh mempercepatkan MPHL."